Friday, April 13, 2018

Wanita Pemimpin Penghuni Syurga


Perempuan penghuni syurga mempunyai pemimpin. Pemimpin yang benar ialah pemimpin yang dipuji dan dipersaksikan oleh Allah SWT. Perempuan-perempuan yang diangkatNya sebagai pemimpin perempuan di syurga ialah perempuan yang diredhaiNya dan diterimaNya dengan penerimaan yang baik. 

Pemimpin perempuan penghuni syurga itu ialah : 

1. Khadijah, isteri kepada Nabi SAW

2. Fatimah, puteri Nabi SAW

3. Mariam puteri Imran, ibu Nabi Isa AS

4. Asiah, isteri Firaun, ibu angkat Nabi Musa AS

Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam At Tahwi dan Imam Al Hakim dalam kitabnya Al-Mustadrak dengan sanad yang sahih. 


Ibnu Abbas berkata; Rasullullah SAW membuat 4 garis lurus di atas tanah. Kemudian Baginda SAW bersabda; 

"Tahukah kamu apa ini?"

Para sahabat menjawab; 

"Allah dan RasulNya lebih mengetahui."

Kemudian Rasullullah SAW bersabda; 

"Sebaik-baik perempuan penghuni syurga ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Mariam binti Imran dan Asiah binti Muzahim, isteri Firaun." - Hadis Riwayat Ahmad.

Daripada Ali bin Abu Talib r.a, Nabi SAW bersabda; 

"Sebaik-baik perempuan ialah Mariam dan Khadijah." - Hadis Riwayat Bukhari.

Mariam ialah pemimpin pertama perempuan penghuni syurga dan dia perempuan terbaik secara 'am. Perkara ini sebagaimana diriwayatkan daripada Jabbir r.a; dia berkata; Rasullullah SAW bersabda; 

"Pemimpin perempuan penghuni syurga selepas Mariam binti Imran ialah Fatimah, Khadijah dan Asiah, isteri Firaun"

Mariam dikatakan sebagai perempuan terbaik, berdasarkan firman Allah SWT; surah Ali-Imran, 3 : 37 dan Surah Ali-Imran; 3 : 42. 

Mereka berempat merupakan contoh perempuan sempurna dan solehah. Mariam dipuji oleh Allah SWT kerana menjaga kehormatannya. Khadijah ialah perempuan jujur yang beriman kepada Nabi SAW tanpa keraguan dan rela berkorban dengan hartanya. 

Asiah, suaminya ialah Firaun seorang kafir, tetapi dia tetap beriman. Fatimah ialah anak perempuan Rasullullah SAW seorang penyabar, bertakwa dan daripada keturunan yang suci. 

- Dr. Umar SulaimanAl-Asyqar, Al-Jannah wa An-Nar, 2002 : 210-212