Wednesday, May 9, 2018

Hukuman Perempuan yang Tidak Mahu Bertaubat


gambar dari tafsirq.com

Daripada Nafi, Ibnu Umar r.a berkata;

"Sesungguhnya ada seorang perempuan Bani Makhzum pernah meminjam alat rumah tangga, kemudian dia berdalih bahawa dia pernah meminjam alat itu. Lalu Nabi SAW memerintahkan supaya perempuan itu dipotong tangannya."

Safiyyah berkata;

Sesungguhnya ada seorang perempuan yang pernah meminjam alat rumah tangga, lalu dia menyangkalnya. Lalu Nabi SAW berdiri, naik ke atas mimbar, dan berpidato, sedangkan perempuan itu berada di masjid. Nabi SAW;

"Adakah perempuan yang mahu bertaubat kepada Allah SWT dan RasulNya?"

Baginda SAW mengulanginya tiga kali. Namun perempuan itu tidak berdiri dan tidak bercakap. Lalu Nabi SAW berkata;

"Wahai Fulan, berdirilah dan potonglah tangan perempuan itu."

Itulah hukuman bagi perempuan yang telah diberi kesempatan untuk bertaubat tetapi dia menolak sehingga had itu betul-betul dijatuhkan. Perempuan tersebut dipotong tangannya kerana dianggap telah mengambil barang milik orang lain tanpa hak.

Seandainya dia bertaubat ketika ditawarkan oleh Nabi SAW untuk bertaubat, boleh jadi had potong tangan tidak dilaksanakan. Dia hanya perlu memulangkan barang yang telah diambilnya. Tidak ada pemuda atau pemudi yang lebih Allah SWT cintai daripada pemuda atau pemudi yang bertaubat kepadaNya, dan tidak ada orang tua yang lebih Allah SWT benci daripada orang tua yang terus menerus melakukan maksiat.

Di dalam riwayat lain, Ibnu Umar berkata;

"Ada seorang perempuan daripada Bani Makhzum meminjam perkakas rumah kepada jirannya, tetapi perempuan tersebut menyangkalnya. Lalu Nabi SAW memerintahkan supaya perempuan itu dipotong tangannya"

Imam Ahmad dan Imam Abu Daud meriwayatkan hadis yang hampir sama bahawa ada seorang perempuan yang meminjam perhiasan kepada orang lain, kemudian perempuan itu tidak mahu memulangkannya, lalu Nabi SAW memerintahkan supaya perempuan itu bertaubat kepada Allah dan RasulNya, tetapi dia tidak mahu sehingga Nabi SAW berkata;

"Wahai Bilal, berdirilah, pegang dan potong tangannya"

- Ibnu Kasir, Tafsir Al-Qur'anil 'azim, Jilid 3, 1996 : 112
Post a Comment