Sunday, April 8, 2018

Bersekutu dengan Jin

gambar dari readwithmeaning.wordpress.com
Ada dari kalanngan masyarakat kita yang terlalu bergantung kepada dukun, pawang, peramal, bomoh dan ada yang lebih baik sikit namanya dipanggil ustaz. Tak kata ustaz tu tak baik, ini ustaz yang berpura-pura ustaz. Tahu pasal ghaib, sedangkan sembahyang 5 waktu belum tentu cukup. 

Sedangkan di dalam Al-Quran, surah Al-Jin, 72 : 6, telah menegaskan;

"Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki dari kalangan manusia yang meminta perlindungan* kepada beberapa lelaki daripada Jin, tetapi mereka (Jin) menjadikan mereka (manusia) bertambah sesat."

* Ada di antara orang Arab apabila mereka melintasi tempat yang sunyi, mereka meminta perlindungan kepada Jin yang mereka anggap berkuasa di tempat itu. 

Dukun, peramal atau tukang sihir adalah orang yang mengambil berita langit yang dicuri oleh Jin. Dia melakukan penyekutuan dan meminta bantuan kepada Jin supaya memberitahu berita atau khabar yang ada di langit. Fenomena seperti ini sebelum kenabian sangat banyak berlaku.  Namun selepas kenabian, ia menjadi sedikit kerana Allah SWT menjaga dengan langitnya dengan petir. 

Yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat adalah khabar yang dibawa oleh Jin yang diberikan kepada kawan-kawannya daripada jenis manusia, yang berkaitan dengan masalah-masalah ghaib yang akan berlaku di muka bumi. 

Kemudian orang yang tidak tahu, menganggapnya sebagai keramat dan keajaiban. Banyak sekali manusia yang tergoda dan tertipu dengan perkara ini. 

Mereka menganggap orang yang beroleh khabar daripada Jin ini adalah Wali Allah, padahal sebenarnya dia adalah Wali Syaitan. 

Diriwayatkan daripada sebahagian isteri Nabi SAW, Baginda bersabda;

"Sesiapa datang kepada peramal kemudian bertanya tentang sesuatu, lalu membenarkan perkataannya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari." - Hadis Riwayat Muslim

Secara zahir, hadis ini mengancam sesiapa sahaja yang datang kepada dukun/peramal atau tukang sihir dan bertanya sesuatu kepadanya, baik dia mempercayai mahupun tidak. 

Imam Nawawi dan yang lain berkata, maknanya ialah ia tidak beroleh imbalan solat yang dikerjakannya walaupun kewajipan solatnya telah gugur. Tetapi yang jelas, para ulama bersepakat bahawa orang yang datang kepada dukun, peramal atau tukang sihir tidak perlu mengulang solatnya. 

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda; 

"Sesiapa yang datang kepada dukun, peramal atau tukang sihir, kemudian membenarkan apa yang diperkatakannya, maka sungguh dia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Nabi SAW." 
- Hadis Riwayat Abu Daud. 

Hadis ini juga menegaskan bahawa dukun, peramal ataupun tukang sihir itu kafir kerana mereka mengaku mengetahui perkara ghaib. Pengakuannya inilah yang menyebabkan mereka kafir sehingga orang yang membenarkannya dan rela dengannya pun menjadi kafir juga. 

Pengakuan seseorang yang mengaku sebagai wali yang mengetahui perkara ghaib ialah pengakuan yang tidak benar kerana yang mengetahui perkara ghaib hanya Allah SWT .

- Abdur Rahman bin Hasan bin Muhammad, Fathul Majid, 1424H : 333-338